Home Haba MEMAHAMI KONFLIK RUSSIA – UKRAINE

MEMAHAMI KONFLIK RUSSIA – UKRAINE

by Sjukri Ibrahim

MEMAHAMI KONFLIK RUSSIA – UKRAINE

Perang di Ukraine adalah konflik antarabangsa paling berbahaya sejak krisis peluru berpandu Cuba 1962. Memahami puncanya adalah penting.

Tidak dinafikan bahawa Vladimir Putin yang memulakan perang dan bertanggungjawab ke atas pencerobohan Ukraine. 

Tetapi mengapa beliau berbuat demikian adalah persoalan berbeza.
Pandangan arus perdana terhadap Putin ialah beliau adalah seorang penceroboh yang bercita-cita mahu menjadikan Rusia lebih besar dengan mewujudkan semula Soviet Union.

Tetapi pandangan itu salah. Barat dan Amerika Syarikat terutamanya, bertanggungjawab pada krisis yang bermula pada Februari 2014. Ia kini telah bertukar menjadi perang yang bukan sahaja mengancam Ukraine, malah berpotensi untuk menjadi perang nuklear antara Rusia dan Nato.

Masalah sebenarnya berakar pada sidang kemuncak Bucharest pada April 2008, apabila pentadbiran George W. Bush mendesak kemasukan Ukraine dan Georgia ke dalam Nato. 

Rusia menyifatkan keputusan itu sebagai ancaman.

Ketika itu, Putin memberi amaran bahawa jika Ukraine menyertai Nato, mereka akan menyertainya tanpa Crimea dan wilayah timur. 

Amerika Syarikat tidak mengendahkan “garis merah” Moscow dan terus mendesak untuk menjadikan Ukraine sebagai benteng Barat di sempadan Rusia.

Strategi Amerika Syarikat termasuk :

1. Mendekatkan Ukraine kepada Kesatuan Eropah (EU).

2. Menjadikan Ukraine sebuah demokrasi pro-Amerika.

Usaha Amerika Syarikat akhirnya mencetuskan ketegangan pada Februari 2014, selepas pemberontakan yang disokong oleh Amerika Syarikat menyebabkan presiden pro-Rusia Ukraine iaitu Viktor Yanukovych meninggalkan negara itu.

Sebagai tindak balas, Rusia mengambil Crimea dari Ukraine dan menyokong perang saudara yang tercetus di Donbas, timur Ukraine.

Konfrontasi besar seterusnya berlaku pada Disember 2021. Punca utama ialah Ukraine menjadi ahli de facto Nato.

Proses itu bermula pada Disember 2017 apabila pentadbiran Trump memutuskan untuk menjual snejata pertahanan kepada Kyiv.

Apa yang disebut sebagai pertahanan sebenarnya tidak begitu jelas. Senjata ini pastinya menyinggung Moscow dan sekutunya di Donbas.

Negara-negara Nato yang lain turut terlibat dalam usaha itu, menghantar senjata ke Ukraine, melatih angkatan tentera Ukraine, dan membenarkan Ukraine menyertai latihan udara dan laut bersama.

Pada Julai 2021, Ukraine dan Amerika Syarikat menganjurkan latihan tentera laut di Laut Hitam yang melibatkan tentera laut dari 32 buah negara.

Operasi Sea Breeze hampir menyebabkan Rusia mahu melepaskan tembakan ke arah kapal pemusnah tentera laut British yang dengan sengaja memasuki kawasan yang dianggap Rusia sebagai perairan wilayahnya.

Hubungan Ukraine dan Amerika terus berkembang di bawah pentadbiran Biden. 

Komitmen ini dicerminkan dalam dokumen penting, “Piagam Amerika Syarikat-Ukraine Mengenai Perkongsian Strategik,” yang ditandatangani oleh Antony Blinken dan Dmytro Kuleba, setiausaha kedua-dua negara.

Matlamat piagam itu adalah untuk menekankan komitmen terhadap pelaksanaan reformasi mendalam dan menyeluruh yang diperlukan oleh Ukraine untuk penyepaduan penuh ke dalam institusi Eropah dan Euro-Atlantik.

Tidak mengejutkan, Moscow tidak dapat bertolak ansur dan mula menggerakkan tenteranya di sempadan Ukraine sebagai isyarat kepada Amerika Syarikat. 

Tetapi ia tidak memberi kesan kerana pentadbiran Biden terus bergerak lebih dekat kepada Ukraine.

Ini menyebabkan Rusia mencetuskan ketegangan diplomatik sepenuhnya pada bulan Disember yang lalu. Seperti yang dikatakan menteri luar Rusia, Sergey Lavrov, 

“Kami mencapai had kami.”

Rusia menuntut jaminan bertulis bahawa Ukraine tidak akan menjadi sebahagian daripada Nato dan perikatan itu menghapuskan aset tentera yang telah digunakan di Eropah timur sejak 1997.

Rundingan berikutnya gagal, seperti yang dijelaskan oleh Blinken,

“Tiada perubahan. Tidak akan ada perubahan.”

Sebulan kemudian, Putin melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine.

Apa yang terjadi bertentangan dengan apa yang didakwa oleh pemimpin Barat yang meletakkan kesalahan kepada Rusia dan Putin sepenuhnya.

Menurut dokumen Nato yang dihantar kepada pemimpin Rusia baru-baru ini,

“Nato ialah perikatan pertahanan dan tidak menimbulkan ancaman kepada Rusia.”

Bukti yang ada bercanggah dengan dakwaan Nato. Sebagai permulaan, isu yang dihadapi bukanlah apa yang dikatakan oleh pemimpin Barat tentang tujuan atau niat Nato.

Putin pastinya tahu bahawa kos untuk menduduki sebahagian besar wilayah timur Eropah akan menjadi mahal bagi Rusia.

Seperti yang pernah Putin katakan,

“Sesiapa yang tidak merindui Soviet Union, tidak mempunyai hati. Sesiapa yang mahukannya kembali, tidak mempunyai otak.”

Penggubal dasar Rusia, termasuk Putin, tidak mengatakan apa-apa tentang menakluk wilayah baru untuk membina semula Soviet Union atau menjadikan Rusia lebih besar.

Sebaliknya, sejak sidang kemuncak Bucharest 2008, pemimpin Rusia telah berulang kali mengatakan bahawa mereka melihat Ukraine menyertai Nato sebagai ancaman yang mesti dicegah.

Seperti yang dikatakan Sergey Lavrov pada bulan Januari,

“Kunci kepada segala-galanya ialah jaminan bahawa Nato tidak akan berkembang ke arah timur.”

Secara terang, pemimpin Barat jarang menyifatkan Rusia sebagai ancaman sebelum 2014. 

Seperti yang dicatat oleh bekas duta Amerika ke Moscov, Michael McFaul, pencerobohan Crimea tidak dirancang, ia satu tindak balas kepada rampasan kuasa yang menggulingkan pemimpin pro-Rusia.

Malah, perancangan Nato untuk menjadikan seluruh Eropah sebagai zon keamanan gergasi tanpa melibatkan Rusia adalah satu bahaya.

Sebaik krisis bermula, bagaimanapun, pembuat dasar Amerika Syarikat dan Eropah tidak boleh mengakui bahawa mereka yang bertanggungjawab terhadap konflik yang terjadi.

Ramai pakar dasar luar Amerika Syarikat telah memberi amaran terhadap pengembangan Nato sejak akhir 1990-an.

Setiausaha pertahanan Amerika Syarikat ketika sidang kemuncak Bucharest, Robert Gates, mengakui bahawa tindakan membawa Georgia dan Ukraine ke dalam Nato adalah melampaui batas.

Malah, pada sidang kemuncak itu, canselor Jerman, Angela Merkel, dan presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, menentang idea tersebut kerana mereka bimbang ia akan menimbulkan kemarahan Rusia.

Kita berada dalam situasi yang sangat berbahaya dan dasar Barat memburukkan lagi risiko ini. 

Bagi Rusia, apa yang berlaku di Ukraine hanyalah untuk menangani ancaman kepada masa depan Rusia.

Putin mungkin telah salah menilai keupayaan tentera Rusia, keberkesanan penentangan Ukraine, dan kepantasan tindak balas Barat. 

Amerika Syarikat berusaha memalukan Putin dan mungkin juga menggulingkan beliau dari pemerintahan.

Tindakan Amerika Syarikat dilihat oleh Putin sebagai tidak ubah seperti pengisytiharan perang.

Jika Barat terus mendesak, tidak mustahil Putin akan beralih kepada senjata nuklear. 

Pada ketika ini adalah mustahil untuk mengetahui bagaimana konflik ini dapat diselesaikan.

You may also like

Leave a Comment